Penutupan kecemasan terminal gas Petronas punca catuan bekalan elektrik

KOTA KINABALU: Penutupan secara kecemasan terminal gas milik Petronas Rabu lalu menyebabkan gangguan bekalan gas ke beberapa stesen janakuasa, sekali gus memaksa Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) melaksanakan catuan bekalan elektrik secara bergilir di beberapa kawasan di Sabah.

Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, penutupan kecemasan itu berlaku pada jam 2.11 petang.

Beliau berkata, gangguan terbabit menjejaskan bekalan gas ke beberapa stesen janakuasa sekitar Kota Kinabalu dan memaksa stesen-stesen berkenaan menukar bahan api daripada gas kepada diesel.

“Perubahan ini menyebabkan pengurangan kapasiti penjanaan grid Sabah dan Labuan sebanyak 60 megawatt (MW),” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, catuan bekalan bermula jam 2.38 petang hingga 4.53 petang melibatkan kawasan Pitas, Papar, Keningau, Kunak, Balung dan Tawau.

“Catuan bekalan kedua pula dilaksanakan pada jam 6.38 petang melibatkan kawasan Kudat, Pitas, Kota Marudu, Tuaran, Lok Kawi, Kimanis, Beaufort, Tenom, Nabawan, Beluran, Sandakan, Kunak, Semporna, Tawau dan Sebatik.

“Bekalan elektrik kembali pulih sepenuhnya pada jam 9.36 malam,” katanya.

Beliau berkata, Sabah Electricity memohon maaf dengan kelewatan pemakluman kepada pengguna berhubung gangguan berkenaan.

“Sabah Electricity amat memahami kesulitan yang dialami oleh pengguna dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya.

Pada masa sama katanya, Sabah Electricity memohon kerjasama orang ramai untuk turut memahami kekangan yang dihadapi dalam usaha memastikan perkhidmatan bekalan elektrik yang stabil dapat diberikan.

Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi Sabah Electricity menerusi Careline 15444, talian 088-515000, aplikasi WhatsApp di 019-852 5427 atau melalui aplikasi mudah alih Sabah Electricity.