Duit ‘Datuknya’ RM40,000 hilang dibawah katil dua remaja perempuan ditahan

TAWAU : Dua remaja perempuan ditahan selepas disyaki mencuri duit datuknya sendiri berjumlah RM40,000 yang disimpan di bawah katil di rumahnya di Kampung Durian, Merotai, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua remaja ini masing-masing berusia 13 dan 15 tahun ditahan pada jam 4.45 petang pada keesokan harinya.

Katanya, kejadian disedari mangsa berusia lingkungan 60 tahun kira-kira jam 7 malam ketika menyemak wang tunai simpanan berjumlah RM60,000, sebelum mendapati RM40,000 daripadanya hilang.

“Mangsa kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Bombalai untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal polis mendapati wang tunai berkenaan disimpan mangsa di bawah katil di dalam bilik tidurnya,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Jasmin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk proses soal siasat terhadap suspek serta pengesahan jumlah sebenar wang yang hilang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Kita nasihatkan agar orang ramai menggunakan saluran perbankan yang lebih selamat bagi tujuan simpanan,” jelas Jasmin.