SEMPORNA : Polis menahan seorang jurulatih selam skuba selepas disyaki memukul serta mengugut lelaki warga Taiwan dalam kejadian di sebuah syarikat pelancongan, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar Hakim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.46 pagi itu mangsa berusia 34 tahun mendakwa dipukul, diugut dan dicederakan oleh suspek berumur 38 tahun yang bekerja sebagai jurulatih selam.
“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang mendakwa kakinya dihempap tong gas milik mangsa ketika kedua-duanya menaiki bot menuju ke perairan Pulau Timba-Timba bagi aktiviti selam skuba.
“Pada kejadian kira-kira jam 9 pagi, tong gas milik mangsa tumbang lalu terkena kaki suspek hingga menyebabkan pertengkaran mulut,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Jaafar berkata, pada keesokan harinya suspek mendapatkan rawatan di Hospital Tawau sebelum kembali ke syarikat pelancongan berkenaan untuk menuntut ganti rugi daripada mangsa.
“Bagaimanapun berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak memukul mangsa dan mengugut akan mencederakannya.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” jelas Jaafar.
Menurutnya, suspek kini sudah ditahan untuk siasatan lanjut, polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
