Penolong pengurus tidak mengaku salah guna sisa kosentrat emas

TAWAU : Seorang penolong pengurus syarikat perlombongan emas mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan harta milik syarikat untuk kegunaan sendiri empat tahun lalu.

Tertuduh, Brando Pang, 49, membuat perakuan tersebut masing-masing di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut kesemua empat pertuduhan dibacakan secara berasingan itu, tertuduh merupakan Penyelia Gold Room di Wullerdorf Resources Sendirian Berhad (WRSB) dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan dirinya sendiri harta iaitu sisa kosentrat emas kepunyaan syarikat WRSB.

Perbuatan itu didakwa di lakukan di Lombong Bukit Mantri, Balung Tawau, masing-masing antara awal tahun 2020, Oktober 2021, Mei 2022 Dan Disember 2022.

Bagi kesemua kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun, denda dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Chin Teck Ming dan Vivian Thien.

Shahnidzam menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan sebelum mahkamah memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan keseluruhan berjumlah RM15,000 bagi kesemua pertuduhan.

Sebutan semula dan pengurusan kes ditetapkan pada 14 Mei depan.