Pengumuman penurunan kuasa mampu selesaikan infrastruktur kawasan luar bandar – Mudi

KOTA KINABALU: Pengumunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai penurunan kuasa melulus projek pembangunan bernilai hingga RM50 juta dijangka mampu menyelesaikan masalah infrastruktur di negeri Sabah dan Sarawak.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Mudi Dubing berkata, ini merupakan satu perkembangan yang positif memandangkan ia sudah lama dinantikan rakyat Sabah.

“Ini bermakna, Sabah boleh merancang sendiri apa yang diperlukan oleh rakyat negeri ini. Ia juga selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana Kerajaan Pusat perlu memberi pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di Sabah dan Sarawak.

“Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atas keputusan yang dibuat berhubung perkara ini. Ia menunjukkan Perdana Menteri memahami kehendak rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mudi merupakan Pemangku Ketua Bahagian Pensiangan berkata, langkah ini penting bagi mengubat penantian rakyat Sabah yang sudah lama menunggu hasil daripada pelaksanaan lebuh raya tanpa tol itu.

“Di Pensiangan, keperluan asas ada tiga iaitu bekalan air bersih, elektrik dan jalan-jalan kampung. Peruntukan RM50 juta ini boleh dimanfaatkan untuk tiga perkara ini.

“Ketika ini, kebanyakan jalan perhubungan desa dan pekebunan sukar dilalui oleh penduduk kampung untuk membawa hasil pertanian bagi  dipasarkan di kawasan berhampiran,” katanya.