Penganggur rogol teman wanita ditahan polis

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki dipercayai merogol teman wanitanya berusia 14 tahun dalam kejadian di kawasan Balung, Tawau di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 23 tahun merupakan seorang penganggur ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan pada jam 4.36 petang, Rabu lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama di rumah suspek yang merupakan teman lelakinya sebelum melakuian perbuatan tersebut pada 16 November lalu.

“Selepas kejadian itu, mangsa kemudiannya memaklumkan kepada ibunya sebelum mereka bertindak untuk membuat laporan polis.

“Suspek ditahan jam 1.30 petang semalam kemudiannya akan disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, siasatan juga akan dijalankan terhadap suspek dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

“Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sekali gus tidak membiarkan anak tanpa pengawasan tinggal bersama individu tidak dikenali,” jelas Jasmin.