PUTATAN : Pembinaan penambahbaikan jejantas pejalan kaki di Petagas bakal memberi impak terhadap peningkatan keselamatan kepada masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, perancangan berkaitan pembinaan jejantas itu bermula tahun lalu kini akan diberikan keutamaan.
Katanya, pembinaan jejantas itu merupakan penambahan struktur sedia ada.
“Dalam bajet Negeri Sabah tahun 2025 yang telah diluluskan baru-baru ini telah dimasukkan perancangan untuk membina jejantas dikawasan tersebut.
“Saya minta keutamaan diberikan kepada pembinaan jejantas ini dalam waktu yang terdekat,” katanya.
Beliau merupakan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan keretapi di Kampung Muhibbah, Putatan,
Shahelmey merangkap Ahli Parlimen Putatan berkata, lawatan tersebut adalah sebagai tanda prihatin beliau diatas apa yang telah berlaku terhadap musibah yang melanda.
“Tujuan kita untuk mengadakan ziarah adalah untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa serta melihat dan mendengar keadaan salah satu mangsa yang terlibat.
“Difahamkan mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital,” jelas Shahelmey.
Menurutnya, sebagai rekod, kejadian kemalangan membabitkan keretapi dari arah Beaufort ke Kota Kinabalu dan pejalan kaki di Putatan pada Selasa lalu.
Kejadian itu mengorbankan nyawa seorang wanita berusia 41 tahun, manakala anak lelakinya yang parah masih menerima rawatan di hospital.
