SANDAKAN: Pemuda PAS Sabah menyokong penuh usul tergempar untuk mengukuhkan muafakat politik dalam kalangan parti tidak ekstrem sekali gus menolak sebarang kerjasama dengan PH.
Ketua Penerangannya, Mustaman Mustain, berkata realiti politik hari ini di Sabah menyaksikan, PAS Sabah tidak bermasalah bekerjasama dalam kerajaan negeri dengan parti lain yang terdiri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

“ADUN tunggal PAS, Dr Aliakbar Gulasan boleh bekerja baik dengan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan parti dalam kerajaan yang lain termasuk UMNO, STAR, SAPP, PBS, MCA dan PBRS yang menunjukkan kerukunan dalam kerajaan hari ini.
“Malah, lantikan politik ahli PAS dalam kerajaan termasuk PBT masih kekal dan tidak ada sebarang ganguan yang juga menunjukkan muafakat dalam kalangan parti-parti terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke 63 hari ini.
Mustaman turut mengulas berkenaan rakyat Malaysia yang sudah mengetahui tentang kerosakkan dibawa PH dan serik terhadap pemerintahan selama 22 bulan mereka.
Menurutnya, perkara ini dapat dilihat daripada keputusan sepanjang siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menunjukkan PH ditolak oleh rakyat.
“PRN Sabah yang lalu mencatatkan PH termasuk UPKO hanya menang 7 kerusi daripada 27 kerusi yang ditandingi menunjukkan PH telah ditolak oleh rakyat,” jelasnya.
“Awal tahun ini pula kita menyaksikan pimpinan DAP, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yun Bin, ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dan bekas senator, Adrian Lasimbang telah keluar parti menandakan mereka hilang kepercayaan kepada parti sendiri,” katanya.
Malah, bulan Jun baru-baru ini seramai 115 bekas anggota DAP dari Kampung Mangkalinau, Sandakan telah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai PAS membuktikan PH khususnya DAP ditolak oleh rakyat Sabah,” katanya.
Semua justifikasi ini menurut Mustaman membuktikan bahawa usul tergempar ini perlu disokong sebulat suara oleh sidang perwakilan muktamar.
Usul tergempar ini kemudiannya dibahas oleh Perwakilan Kedah dan Selangor yang turut menyokong usul berkenaan. Ia kemudiannya mendapat sokongan sebulat suara oleh sidang muktamar.