KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri bersetuju untuk menangguhkan sementara notis pemindahan terhadap penduduk di Kampung Likas Lama.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Darau, Datuk Mohamad Razali Razi berkata, ini susulan arahan dikeluarkan hasil perbincangan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkaitan isu pemindahan penduduk di Kampung Likas Lama.
Katanya, penangguhan sementara ini bagi membolehkan sehingga proses penyelesaian dapat dicapai selepas kawasan ini terlibat kepada projek tebatan banjir serta pelebaran sungai.
“Selepas menerima aduan daripada penduduk saya bergegas berjumpa dengan Ketua Menteri untuk berbincang bagi mencari jalan agar tindakan segera dapat diambil.
“Saya menceritakan masalah serta kerisauan kalangan penduduk kampung kepadanya….Arahan jelas daripada Ketua Menteri bahawa notis tersebut adalah ditangguhkan sehingga penyelesaian dapat dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Razali berkata, satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk mengurus masalah ini bagi membolehkan ia dapat diselesaikan bagi memberi manfaat kepada penduduk kampung yang terlibat.
Sementara itu, seorang penduduk kampung Abdul Ghani Kassim berkata, penduduk kampung bukan ingkar arahan, namun tempoh yang diberikan terlalu singkat selama 14 bagi mengosongkan kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk kampung memahami tujuan pemindahan iaitu memberi laluan kepada projek tebatan banjir serta pelebaran sungai bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Likas Lama.
“Notis dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terlalu singkat sekali gus diarahkan berpindah secara serta-merta.
“Kami sudah tinggal di Kampung Likas melebihi 100 tahun. Sudah tentu terbiasa dengan suasana perkampungan selepas menduduki kawasan ini sejak sekian lama,” kata Abdul Ghani.
Menurutnya, beliau berharap agar pihak terbabit dapat menyediakan kemudahan termasuk memberikan lot tanah atau rumah serta pampasan yang sewajarnya.
