KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyambut baik usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan kajian perbezaan harga barang di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata usaha itu menunjukkan keprihatinan KPDN terhadap isu yang dibangkitkan, khususnya di Sabah.
Katanya, UMNO Sabah menzahirkan terima kasih kepada Menteri dan Timbalan Menteri KPDN kerana memberi respon segera terhadap kenyataannya sebelum ini.
“Kita menyambut baik usaha yang dilaksanakan KPDN ini menerusi kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Kami di peringkat pemimpin dan ahli UMNO Sabah berminat untuk menunggu laporan kajian berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Bung berkata, pihaknya juga yakin hasil kajian ini akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap punca perbezaan harga barang antara Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, berhubung isu harga ayam yang mencecah sehingga RM16.50 sekilogram, katanya maklumat itu diperolehi daripada orang awam.
“Saya telah meminta agar mereka melaporkan segera lokasi di mana harga sebegini masih dijual dan jika benar masih ada, pihak penguatkuasa KPDN perlu segera mengambil tindakan.
“Namun, saya percaya selepas isu ini tular, kemungkinan besar penjual tidak lagi berani menawarkan harga seperti itu secara terang-terangan,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, UMNO Sabah melalui Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti akan menghantar memorandum dan aduan secara rasmi kepada KPDN berkenaan harga ayam ini.
“Isu harga ayam mahal di Sabah sememangnya bukan isu baru, namun ia bukan alasan untuk mana-mana pihak, khususnya kerajaan hari ini, memberi jawapan mudah seolah-olah menafikan usaha kerajaan terdahulu dalam menangani masalah yang sama.
“Apa yang diperlukan adalah komitmen untuk menyelesaikan isu ini secara berkesan dan harga ayam bukan isu politik tetapi isu rakyat kerana ia adalah keperluan asas yang harus ditangani secara holistik,” kata Bung Moktar.
