KOTA KINABALU : Pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim, yang mendakwa Projek Jelapang Padi Kota Belud sebagai lambang kegagalan Kerajaan Negeri, dengan menegaskan bahawa isu tersebut adalah legasi pentadbiran lama yang diwarisi dan bukan boleh diselesaikan sekelip mata.
Timbalan Presiden STARSABAH, Datuk Robert Tawik berkata, Sufian sepatutnya lebih jujur dalam menilai fakta sebelum menuding jari kerana projek itu dimulakan ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
“Jangan buat-buat lupa siapa yang meluluskan projek ini, siapa yang umumkan peruntukan ratusan juta, dan siapa yang mengurus pelaksanaannya dari awal.
“Kerajaan GRS hari ini mewarisi masalah ini selepas bertahun-tahun diabaikan oleh pemimpin-pemimpin yang kini galak menuding jari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, GRS tidak pernah menafikan cabaran yang dihadapi projek berkenaan, namun menegaskan bahawa pelbagai usaha pemulihan sedang giat dilaksanakan termasuk penstrukturan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dan penubuhan IADA Kota Belud.
“Kalau benar kerajaan negeri tidak serius, LPBS tidak akan diaktifkan semula, IADA Kota Belud tidak akan diwujudkan, dan infrastruktur seperti sistem saliran tidak akan diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan semula jelapang ini,” katanya.
Robert turut mempersoalkan motif Sufian mengeluarkan kenyataan sedemikian seolah-olah mahu mengalihkan perhatian daripada kegagalan lampau pentadbiran mereka sendiri.
“Yang meluluskan projek tanpa pelan terperinci dahulu siapa? Yang gagal selesaikan isu saliran dan hakisan tanah siapa? Hari ini, bila GRS berusaha betulkan kerosakan itu satu per satu, tiba-tiba dituduh gagal pula,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa mengutamakan isu sekuriti makanan dan komited meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) padi Sabah secara berperingkat melalui perancangan yang lebih realistik dan mampan.
“Tidak ada jalan pintas untuk membetulkan kesilapan lebih sedekad lalu. Tapi sekurang-kurangnya hari ini ada kesungguhan politik, ada tindakan di lapangan, bukan sekadar janji pilihan raya semata-mata,” tambahnya.
Beliau mengingatkan bahawa kelemahan dalam sektor ini bukan hanya berlaku di Sabah, malah turut membelenggu negeri lain akibat pelbagai faktor termasuk perubahan iklim, kekangan sumber air, dan kebergantungan kepada bekalan luar negara sejak era pentadbiran BN di peringkat pusat.
“Rakyat sudah muak dengan politik menyalahkan semata-mata. Apa yang penting ialah kesinambungan usaha dan penyelesaian jangka panjang, bukan sekadar mencari populariti murahan dengan memanipulasi isu lama,” katanya.
Robert turut menasihatkan Sufian agar turun padang melihat sendiri usaha pemulihan yang sedang berjalan di Kota Belud sebelum mengeluarkan kenyataan retorik.
“Jangan hanya pandai bercakap di media, turun tengok sendiri di lapangan. Rakyat mahu solusi, bukan polemik basi,” tegasnya.