Pemimpin GRS diminta pelihara perpaduan gabungan GRS – Christopher

KOTA KINABALU : Semua pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan agar terus memelihara perpaduan serta kekuatan gabungan menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut berkata, kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia baru-baru ini berhubung kedudukan USNO dalam GRS wajar dilihat dalam semangat keterbukaan, bukan sebagai ancaman kepada kestabilan gabungan.

Katanya, GRS lahir daripada usaha parti Sabah untuk bersatu setelah melalui pelbagai fasa politik yang tidak menentu di negeri ini.

“Ketika kita semakin menghampiri PRN, keutamaan harus diberi kepada kekuatan dan perpaduan, bukan membuka ruang kepada perpecahan.

“GRS sebagai ‘sebuah rumah baharu’ dibina dengan semangat dan kepercayaan sesama anak Sabah di bawah kepimpinan kolektif presiden-presiden parti komponen yang diketuai Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata, rumah ini mungkin tidak sebesar rumah lama pernah diami bersama, namun ia dibina atas semangat dan kepercayaan.

“Kita ingatkan kepada semua…..Ini adalah rumah kita, jangan dipecahkan. Pendekatan inklusif GRS memberi peranan kepada semua parti komponen termasuk yang belum mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri, dalam pentadbiran dan mewakili Sabah di peringkat serantau harus dipuji.

“GRS telah membuktikan nilai dan penghormatan dalam gabungan tidak hanya diukur berdasarkan bilangan kerusi. Ini mencerminkan keikhlasan serta gaya kepimpinan yang inklusif dalam GRS,” jelas Christopher.

Mengulas keresahan politik yang timbul menjelang pilihan raya, beliau menyarankan semua pihak bertanya secara rasional sama ada kebimbangan itu berpunca daripada prinsip atau sekadar perubahan angin politik.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah. Namun ia harus ditangani dengan kebijaksanaan, sebagaimana layaknya seorang negarawan.

“Justeru, pentingnya kita perlu mengekalkan kepercayaan dalam kalangan anggota GRS dan rakyat Sabah,” katanya.

Christopher turut memetik kenyataan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman, yang pernah menyatakan ‘Apa gunanya rumah besar itu melompat ke rumah yang kecil, tetapi kalau rumah yang besar itu tidak ada ruang bagi kita, apa salahnya?”

“Dahulu kita pernah bersama dalam rumah besar itu. Tetapi hari ini, kita telah membina rumah kecil sendiri.

“Ia mungkin tidak semewah dahulu, tetapi inilah rumah kita. Kitalah yang harus mempertahankannya,” katanya.

Beliau menyeru seluruh pemimpin GRS termasuk tokoh berpengalaman seperti Tan Sri Pandikar untuk kekal sebagai penyatu rakyat Sabah, bukan penyebab perpecahan.

“Sejarah tidak hanya mencatat siapa yang menang ketika senang, tetapi siapa yang bertahan dan bersatu ketika diuji,” katanya.