Pemilik Kedai Runcit Putaton Tindama dinobatkan peserta terbaik program bimbingan INSKEN

KOTA KINABALU: Pemilik Kedai Runcit Putaton Tindama, Penampang, Emily Bozou, dinobatkan sebagai peserta terbaik bagi Program IBBC Grocery Store, program bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Sabah.

Selepas mengikuti program itu Emily berjaya meningkatkan jualan sebanyak 91 peratus.

Faktor yang mempengaruhi peningkatan hasil jualan adalah melalui komponen latihan teknikal perniagaan “Membina SOP untuk Perniagaan Peruncitan Kecil” yang diterima dalam tempoh empat bulan program berlangsung.

Beliau juga berjaya mengaplikasi tips penyusunan barangan secara strategik, teratur dan mengikut kehendak pelanggan. Selain itu, beliau turut berjaya memperbaiki pengurusan kewangan serta meluaskan jaringan pembekal barangan hasil daripada bimbingan daripada pakar industri.

Pencapaian peserta Program Bimbingan Keuntungan Menu Tahun 2023 juga tidak kurang hebatnya dengan peningkatan jualan dicatat sebanyak 38 peratus.

Ketika mengikuti program ini selama tiga bulan, Andreyani Mohd Jafar, pemilik Dapur Ibu Ann di Tawau telah didedahkan dengan kepentingan penetapan harga dengan margin bersesuaian dan pengiraan kos yang efektif dalam Bengkel Lanjutan Keuntungan Menu.

Bimbingan Keuntungan Menu yang dipelajari selama tiga bulan sahaja membolehkan beliau berkembang daripada aktiviti pemprosesan makanan kepada membuka warung di hadapan rumah dan seterusnya bakal membuka kafe di bandar Tawau.

Dua program bimbingan INSKEN iaitu INSKEN Bumiputera Coaching (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu Tahun 2023 disertai 110 usahawan dari pelbagai daerah di negeri ini.

Lebih membanggakan, dua program bimbingan itu berjaya meningkatkan status lima usahawan daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.

Pencapaian program bimbingan INSKEN turut merekodkan 30 pekerjaan baharu melalui Program IBBC dan 28 peserta mempunyai medium penghantaran makanan baharu melalui Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Majlis graduasi Program Bimbingan INSKEN disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.