Pemergian Tun Sakaran satu kehilangan tokoh yang disegani – Bung

KOTA KINABALU Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemergian bekas Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, disifatkan sebagai satu kehilangan tokoh yang amat disegani d negeri ini.

Katanya, Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah yang merangkumi pelbagai aspek sosio-ekonomi, politik, kebajikan serta agama.

“Allahyarham sudah melalui perjalanan yang panjang dalam kerjayanya, samaada dalam perkhidmatan awam, politik dan dakwah di negeri ini, pemergian beliau sudah tentu dirasai oleh rakyat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung yang juga Ketua Umno Sabah menyentuh peranan dalam bidang politik Allahyarham Tun merupakan seorang tokoh yang berperinsip serta setia kepada perjuangan parti.

“Saya pernah berkerja dibawah kepimpinan Allahyarham sebagai Ketua Menteri, pendekatan sederhana dan mesra rakyat yang menjadi amalan beliau membuatkan Allahyarham bukan sahaja disegani tapi disayangi oleh rakyat,” katanya.

Dalam bidang agama pula, Alllahyarham Tun Sakaran merupakan ikon yang boleh dijadikan contoh dalam aktiviti dakwah terutamanya usaha untuk mengembangkan syiar islam di negeri ini melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang pernah diterajuinya sebagai Yang Dipertua selama beberapa penggal.

“Saya bersama kepimpinan Umno Sabah merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun, terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah atas pemergian suami beliau. Jasa Tun kepada Sabah amat besar. Moga roh dicucuri rahmat,” katanya.

Sakaran Dandai, 91, disahkan meninggal dunia 5.30 pagi tadi di Hospital Gleneagles susulan dijangkiti Covid-19. Jenazah  diuruskan di Masjid Negeri dan dimakamkan di Makam Pahlawan.