KINARUT : Pembinaan Kompleks Kebudayaan Sabah melibatkan pembinaan dua komponen utama dikenal pasti bakal menjadi produk pelancongan baharu di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kompleks ini bakal menggabungkan ciri berkonsepkan Kampung Budaya serta Pusat Kebudayaan menawarkan pengalaman unik, inovatif serta berbeza daripada pelancongan sedia ada.

Katanya, kompleks ini mampu menjadi tambahan kepada pusat kebudayaan sedia ada sekali gus antara tumpuan pelancong baharu di negeri ini.
“Ia termasuk Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah serta Pusat Kebudayaan Murut Tenom.
“Pembinaan Kompleks Kebudayaan Sabah merupakan kerjasama pintar antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut, Papar di sini hari ini.
Hajiji berkata, ini merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan negeri untuk mewujudkan kompleks pertama menghimpunkan warisan budaya pelbagai etnik di Sabah.

“Ini antara satu permulaan kepada mercu tanda penting bagi Sabah sekali gus mencerminkan untuk menjaga, memelihara, menghargai serta mengangkat warisan budaya.
“Kita akan memastikan pembangunan projek ini dapat dilaksanakan dengan cermat, mengikut garis panduan serta peraturan ditetapkan,” jelas Hajiji.
Menurutnya, secara tidak langsung ia akan memberi manfaat bukan sahaja dinikmati generasi masa kini, malah pada masa akan datang.
“Kita menyeru agar terus memperkasa serta memelihara seni, budaya dan warisan bangsa kita miliki dengan sebaik-baiknya agar tidak pupus ditelan zaman.
“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini demi merealisasikan impian menjadikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan dan budaya”, kata Hajiji.
