Pemandu maut apabila kenderaan bertembung lori di Jalan Sapi Nangoh

BELURAN: Seorang pemandu kenderaan Perodua Axia maut apabila berlanggar dengan sebuah lori di Bukit Mengidam, Jalan Sapi Nangoh – Paitan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5:26 petang itu, pemandu lelaki tempatan, Cletun Majin, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Perodua Axia sedang dalam perjalanan dari arah Paitan balik ke kediamannya di Kampung Bangau-Bangau.

“Sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, mangsa telah memasuki lorong bertentangan dan telah bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 35 tahun.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan telah meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Kasim berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan telah di bawa ke IPD Beluran untuk membantu siasatan.

Katanya, pihak IPD Beluran akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.