Pelajar IPT Sabah di Semenanjung & Sarawak harus dijadikan pengundi tidak hadir – Ewon

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mempermudahkan sistem pilihan raya bagi membolehkan pelajar sepenuh masa dari Sabah di kampus-kampus di Semenanjung dan Sarawak agar dapat mengundi semasa piliha nraya di kawasan masing-masing.

Beliau mencadangkan agar para pelajar ini dikategorikan sebagai pengundi tidak hadir supaya dapat mengundi secara pos sama seperti pelajar sepenuh masa di luar negara, anggota tentera dan kakitangan awam yang bertugas di luar negara.

“Dengan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, kita perlu menyuburkan demokrasi dengan memudahkan sistem sedia ada agar golongan sasaran iaitu 18 tahun hingga 21 tahun dapat mengambil bahagian dalam proses pilihan raya di kawasan atau daerah mereka.

“Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar golongan berusia 18 hingga 23 tahun ini masih belajar di universiti dan kolej. Banyak pelajar dari Sabah yang berada di kampus-kampus di Semenanjung dan Sarawak. Begitu juga pelajar dari Semenanjung dan Sarawak yang berada di kampus di Sabah.

“Membawa mereka balik ke Sabah untuk mengundi semasa pilihan raya akan melibatkan kos yang besar. Saya syorkan agar pelajar sepenuh masa ini juga dimasukkan sebagai pengundi tidak hadir agar mereka boleh mengundi secara pos bagi calon pilihan mereka di daerah masing-masing,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam satu kenyataan kepada media selepas menghadiri sesi libat urus SPR bersama-sama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di DUN Sabah di sini, hari ini.

Beliau menyatakan telah membangkitkan persoalan dan syor itu dalam sesi libat urus tersebut tetapi SPR hanya menjelaskan bahawa pelajar Sabah di Semenanjung boleh mengubah alamat semasa mereka berdasarkan lokaliti kampus dan seterusnya mengundi di Semenanjung.

“Saya menyatakan hasrat pelajar dari Sabah untuk mengundi calon pilihan mereka di daerah asal, bukannya mahu mengundi di Semenanjung. Saya percaya sistem ini boleh dipermudahkan dan berharap SPR akan tampil lebih progresif memenuhi keperluan kumpulan sasaran sebenar Undi18 tersebut,” katanya.

Berkenaan statistik terkini SPR selepas pelaksanaan Undi18, sebanyak 138,085 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun di Sabah telah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih pada bulan Disember 2021 hingga Februari 2022.