Peguam desak hukuman lebih berat kepada pendera kanak-kanak

KOTA KINABALU: Pelaku kes dera, khususnya yang membabitkan bayi dan kanak-kanak perlu dikenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang ramai agar tidak melakukan perbuatan itu.

Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Erveana Ansari, berkata tindakan itu perlu memandangkan kes dera bukan hanya mencederakan mangsa tetapi memberi kesan jangka panjang kepada mereka.

Merujuk satu kejadian baru-baru ini, beliau berkata mangsa ditendang di bahagian perut dan dada, ditampar dengan kuat mengunakan tangan di bahagian muka mangsa berkali-kali, ditarik rambut dengan kuat, dipukul dengan kuat di bahagian tangan, badan dan kepala menggunakan pembaris sehingga terbaring di kerusi.

“Bayangkan kesengsaraan fizikal dan ‘psychological trauma’ mangsa yang berumur empat tahun oleh pengasuh yang tidak berperikemanusiaan.

“Saya yakin siapapun majistret atau hakim yang mendengar kes ini akan mengenakan hukuman penjara yang seberat- beratnya kepada pelaku perbuatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kes video tular seorang kanak-kanak dipukul dan ditampar seorang pengasuh taska di Luyang, dekat sini, baru-baru ini.

Erveana yang juga seorang peguam berkata, walaupun pengasuh dalam kes itu mengaku bersalah, hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun wajar dikenakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, ia mengambil kira bahawa kes berkenaan membabitkan penderaan yang lebih daripada satu insiden, selain kesan negatif dari segi fizikal, mental dan emosi yang dialami kanak-kanak terbabit dan ahli keluarganya.

“Berpandukan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, memandangkan mangsa mengadu berulang kali didera bermula dari Mac lalu dan penderaan diberitahu kepada ibu bapa serta direkod oleh ibu bapa mangsa, hukuman terhadap pelaku harus melibatkan semua kejadian jika dapat dibuktikan di mahkamah nanti,” katanya.

Beliau berkata, kes penderaan kanak-kanak meningkat dengan mendadak walaupun Parlimen sudah meningkatkan hukuman di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 2016.

Selain itu, katanya kes kematian kanak-kanak akibat penderaan juga membimbangkan berdasarkan statistik pihak berkuasa yang menunjukkan sebanyak 220 kes dilaporkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

“Hukuman penjara yang ringan tidak berupaya menakutkan pendera kanak-kanak untuk berhenti mendera atau menakutkan mereka yang ada niat untuk mendera pada masa akan datang.

“Seperti yang kita sedia maklum, Kanun Keseksaan (Jenayah) diwujudkan untuk melindungi masyarakat umum daripada jenayah dan bahaya yang disebabkan oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Erveana berkata, sebagai seorang ibu kepada tiga anak, beliau berpendapat hukuman yang sekeras-kerasnya patut dijatuhkan terhadap pelaku dalam kes itu.