KOTA KINABALU: Pengumuman sesi pembelajaran selepas cuti hari raya Aidilfitri secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu perlu dilihat secara positif bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19 terhadap pelajar khususnya di negeri ini.
Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, Sabah diletakkan dalam kumpulan B membabitkan beberapa negeri termasuk Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan bermula pada 17 hingga 28 Mei depan.
Katanya, meskipun beberapa halangan yang dihadapi oleh ibu bapa dan guru termasuk kesukaran untuk mendapat talian capaian internet yang tidak stabil khususnya di kawasan luar bandar.
“Kita memberi contoh terdekat khususnya dalam kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas. Masalah capaian internet sangat rendah sekali gus menyukarkan keadaan PdPR untuk dilaksanakan.
“Beberapa kampung di Dun Pitas memang mengalami capaian internet yang tidak memuaskan. Ini mungkin akan menganggu usaha untuk melaksanakan PdPR ini khususnya dalam kalangan ibu bapa di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada SabahNewsToday ketik ditemui di Pejabatnya di Kota Kinabalu, hari ini.
Ruddy berkata, meskipun begitu cadangan ini sangat baik serta perlu disambut baik oleh semua pihak bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin malam tadi.
“Keputusan itu yang dibuat oleh kerajaan ini adalah sesuatu yang baharu perlu kita belajar bersama-sama. Langkah ini sudah tentu memberi kebaikkan kepada semua bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.
SabahNewsToday