LABUAN: Operasi pembersihan dan pengawalan tumpahan minyak yang berlaku di perairan Labuan dekat Kampung Patau-Patau di sini, telah dihentikan, petang ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Labuan, Yaras Yusop, berkata berdasarkan pemerhatian visual mendapati tiada lagi tumpahan minyak berada di kawasan terlibat.
“Bagaimanapun pihak JAS akan mengeluarkan notis kepada Labuan Shipyard Engineering (LSE) untuk mengadakan persampelan pengawasan air marin dalam masa tempoh seminggu selepas kejadian,” katanya.
Yaras berkata, JAS masih lagi meneruskan siasatan dan menahan keatas dua buah kapal yang dipercayai menyebabkan berlakunya tumpahan minyak mengikut Sekyen 38 (1) (C) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 sehingga siasatan selesai dijalankan dan wakil agen dikenalpasti.
“Terdapat lima lokasi persampelan dan kaedah fingerprint ke atas tumpahan minyak dan persampelan akan dihantar ke Jabatan Kimia di Kota Kinabalu,” katanya.
Jelasnya, hasil daripada analisa itu akan menentukan pesalah pencemaran dan kes akan di bawa ke mahkamah untuk perbicaraan.
Pada pagi Khamis pihak Maritim Malaysia Zon Labuan dan Jabatan Alam Sekitar telah melakukan operasi bersama mengawal tumpahan minyak yang berlaku disekitar di perairan Labuan merangkumi keluasan tumpahan 1.5 kilometer persegi membabitkan kawasan Kampung Patau-Patau, Jeti Labuan Shipyard Engineering (LSE) dan Jeti APMM.
Hasil siasatan awal JAS tumpahan minyak berkenaan berpunca dari janakuasa sebuah kapal yang sedang bertambat di jeti LSE.