Norazlinah kekal bersama Parti Warisan Sabah serta menyokong kepimpinan Shafie Afdal

KUNAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak Norazlinah Arif menafikan laporan Portal Berita Online kononnya beliau akan meninggalkan Parti Warisan Sabah (PWS) dalam tempoh terdekat.

Katanya, setakat ini beliau masih kekal berjuang bersama pucuk pimpinan Warisan yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sekali gus memberikan fokus membantu rakyat selepas diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Laporan portal online tersebut hanya bersifat finah serta berniat jahat terhadap saya…iaitu dengan sengaja membuat provokasi untuk keliru ahli Warisan sertapengundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya masih menjadi wakil rakyat di bawah payung Parti WARISAN Sabah… dakwaan itu hanya berbentuk propaganda politik sahaja.

“Saya tetap memilih untuk membela rakyat sesuai dengan kapasiti pembangkang untuk terus menyuarakan hak rakyat dengan sebaik mungkin sekali gus membantu Presiden PWS memantapkan ahli di peringkat akar umbi, “ katanya dalam kenyataan media hari ini.

Norazlinah berkata, setakat ini beliau tidak melihat usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membela rakyat termasuk menyelesaikan masalahrakyat yang terkesan dalam pandemik Covid-19.

“Sehingga kini saya fokus kepada tanggungjawab selaku wakil rakyat membantu rakyat di kawasan Kunak,” katanya.

Norazlinah berkata, beliau bertuah semua penyokong serta rakyat yang menemuinya  sentiasa kekal serta menyokong perjuangan Parti Warisan Sabah sekali gus ingin seiring dengan kepimpinan presiden parti.

“Malah, dakwaan saya keluar parti kerana kecewa dengan perjuangan Presiden WARISAN yang semakin hilang arah juga adalah palsu dan fitnah. Saya yakin pengundi serta penyokong di Dun Kunak tidak terpengaruh dengan berita palsu ini,” katanya.