KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Sabah, Senator Noorita Sual berkata, beliau memfokuskan kepada isu-isu wanita seperti perkasa hak wanita agar berani pertahankan hak mereka.
Katanya, ini termasuk meningkatkan peratus penglibatan wanita dipelbagai peringkat dan bidang, perlindungan serta kebajikan kanak-kanak dan warga emas.
“Ini kerana wanita lebih rapat kepada golongan ini dengan memahami keperluan mereka dalam memperjuangkan hak orang asal serta memberi tumpuan bagi membangunkan kawasan pedalaman di Sabah demi mencapai matlamat kemakmuran saksama,” katanya di sini hari ini.
Noorita Sual, 43, berketurunan dari suku kaum murut tahol, berkelulusan sarjana muda undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau dilantik Senator Dewan Negara selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuatkuasa mulai hari ini hingga 20 Mac 2026.
Beliau adalah lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim pagi tadi.