TAWAU : Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan telah menyampaikan sumbangan kepada pasukan bola sepak Tawau yang akan bertanding pada Kejohanan Grand Final Sukan Sabah (SAGA) 2023.
Beliau menyampaikan sumbangan tersebut kepada seramai 27 atlet bagi pasukan lelaki dan perempuan.
“Saya berkesempatan bertemu dengan kontinjen bola sepak wanita dan lelaki yang akan mewakili daerah Tawau ke SAGA 2023.
“Saya berharap sedikit sumbangan ini boleh digunakan oleh setiap atlet yang mengambil bahagian. Ia juga sebagai suntikan semangat agar pasukan ini dapat mempamerkan prestasi yang baik,” katanya dalam majlis perjumpaan itu yang diadakan di Restoran DArchery, Takada di sini, hari ini
Tawau disasarkan sebagai antara pasukan pilihan bagi kejohanan SAGA 2023 pada tahun ini dengan saingan hebat lain seperti Tenom, Keningau dan Kota Kinabalu.
Dalam perjumpaan tersebut, Nizam turut menerima jersi khas daripada kontinjen bola sepak Tawau.