KOTA KINABALU: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam pengurusan bencana di negeri ini.
Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Carolyn M. Payus berkata, antara perbincangan bersama Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton adalah mengenai fungsi, peranan serta beberapa penyelidikan termasuk gempa bumi, banjir serta hakisan pantai.
Katanya, aktiviti Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) adalah pembentukan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Bencana Melangkap melibatkan wakil daripada komuniti lima kampung di Melangkap Baru, Melangkap Tiong, Melangkap Tomis, Melangkap Kapa dan Melangkap Noriou.
“Jawatankuasa Task Force Bencana Alam Melangkap merupakan yang pertama ditubuhkan di Sabah. Tujuannya melatih komuniti agar lebih bersiap-siaga dan berdayatahan terhadap bencana.
“Pasukan task force komuniti dibentuk ini akan bertindak serta-merta sekiranya berlaku sebarang bencana di kawasan mereka sementara menunggu bantuan daripada agensi penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Pegawai Daearh Kota Belud Peter Jiton berkata, pihaknya menyambut baik usaha dijalankan NDRC UMS berharap agar pusat pengurusan bencana daerah melalui sumbangan khidmat nasihat.
“Selain itu, pihak kami mengharapkan kerjasama ini dari segi kepakaran, penyelidikan, penganjuran Program Kesedaran Awam Bencana Alam atau Seminar Bencana Alam di Kota Belud.
“Kepakaran penyelidik dari institusi akademik penting sebagai input dalam pengurusan bencana untuk mengurangkan impak bencana alam sekali gus memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” kata Peter.
