Nama Ketua Menteri tidak sebut dalam video ditularkan, tiada keperluan letak jawatan

KOTA KINABALU : Jawatan Ketua Menteri hanya boleh dilepaskan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atau meletakkan sebagai Ketua Menteri.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan berkata,berdasarkan video disebarkan tiada langsung menyebut Ketua Menteri menerima wang atau terlibat dengan kes tersebut.

Katanya, malah paparan video tersebut jelas membuktikan bahawa Ketua Menteri mengambil keputusan membatalkan Lesen Cari Gali (Prospecting Licence) kerana wujudnya pengaruh kartel.

“Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 November 2024 mengeluarkan satu kenyataan media menyatakan  memulakan proses siasatan.

“Sehingga hari ini, nama Ketua Menteri tiada langsung dipanggil untuk memberi keterangan sekali gus membuktikan Ketua Menteri langsung tidak terlibat dengan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fairuz berkata, berdasarkan sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 10 November lalu tiada satu pun laporan dibuat kepada SPRM berkenaan keterlibatan ADUN-ADUN di Sabah dengan tuduhan rasuah tersebut.

“Siasatan SPRM sentiasa dijalankan secara telus dan bebas, terpulang kepada pihak SPRM untuk mendedahkan hasil siasatan kepada umum.

“Kerana ia jelas tiada apa yang perlu disembunyikan seiring kenyataan Ketua Menteri pada 12 November 2024, ‘we have nothing to hide,” jelas Fairuz.

Menurutnya, secara perundangan, tiada satu pun peruntukan memberi hak kepada mana-mana pihak untuk mendesak agar Ketua Menteri meletakkan jawatan untuk membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

“Suka untuk kami ingatkan, seorang ADUN juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah walaupun pada ketika itu beliau masih di dalam proses perbicaraan mengenai kes rasuah yang melibatkan jutaan ringgit dan ironinya.

“Beliau tidak pernah melepaskan jawatan beliau dan baru-baru ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan beliau untuk membela diri,” kata Fairuz.

Beliau berkata, Pemuda Gagasan Rakyat meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa khususnya SPRM yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus menghormati proses undang-undang dan sesekali tidak akan terlibat dengan perbincangan serta provokasi di dalam media sosial,” tambahnya.