KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mencatatkan kutipan zakat berjumlah RM133 juta bagi tahun 2022.
Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata hasil kutipan itu adalah melebihi unjuran yang dijangkakan bagi tahun 2022.
“Pada tahun 2022, MUIS menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah telah merekodkan pungutan zakat berjumlah RM133.4 juta dan agihan berjumlah RM122 juta.
“Ini adalah melebihi daripada unjuran yang dijangkakan, malah merupakan lakaran rekod baharu pencapaian pengurusan pungutan dan agihan zakat khususnya di Sabah.
”Semoga segala usaha dalam kerangka memartabatkan syiar Islam dan memperkasa ekonomi umat Islam khususnya di Sabah mampu diterjemah dan direalisasikan sejajar dengan visi dan misi penubuhan MUIS itu sendiri,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Yahya turut menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf yang dijemput untuk sama-sama berbuka puasa dalam majlis tersebut.
Turut hadir, Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said dan Timbalan Yang Dipertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad.