MoU PBS dan Star “Biasa” dalam landskap politik – Terrence Siambun

KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR yang dirasmikan semalam mungkin menarik perhatian tetapi persetujuan politik seperti MoU adalah biasa dalam apa jua landskap politik.

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Terrence Siambun berkata, penting untuk diingat adalah fokus utama mana-mana perjanjian politik sepatutnya sentiasa berpaksi pada kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

Katanya, jelas MoU antara PBS dan STAR bertujuan untuk melayani kepentingan parti masing-masing tetapi ia tidak mencerminkan inklusiviti dan kerjasama dengan lima parti komponen lain dalam GRS.

“Rakan sejawat mereka dalam gabungan tersebut adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Progresif Sabah (SAPP), LDP dan Harapan Rakyat.

“Adakah tiada dialog dan kerjasama di kalangan semua pihak dalam GRS untuk memastikan penyertaan kolektif dan perwakilan yang saksama,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Terrence berkata, perjanjian politik seperti MoU sering bertindak sebagai mekanisme untuk menyusun proses dan meningkatkan koordinasi dalam sesebuah gabungan.

“Namun, kejayaan perjanjian itu akhirnya bergantung pada keupayaan untuk diterjemahkan menjadi faedah yang nyata bagi rakyat yang mereka wakili.

“Sabah dibelenggui dengan isu-isu yang sepatutnya diutamakan dan bukannya kepentingan politik parti tertentu,” jelas Terrence.

Menurutnya, isu-isu yang mendesak ini merangkumi pembangunan ekonomi dan penambahbaikan infrastruktur serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Isu-isu ini sepatutnya kekal di hadapan sebarang usaha politik.

“Walaupun MoU boleh memainkan peranan dalam membentuk landskap politik, ukuran kejayaan sebenarnya terletak pada keupayaannya untuk menangani keperluan dan aspirasi rakyat,” tambah Terrence.