KOTA KINABALU: Alasan digunakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi ‘Melompat Demi Rakyat’ sekali gus meninggalkan parti WARISAN terlalu murahan termasuk ‘Jawapan Standard’ selalu digunakan mereka kalangan ahli lompat parti.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti WARISAN, Azhar Matussin berkata, majoriti rakyat tahu alasan sedemikian itu hanya untuk kepentingan kelangsungan politik peribadi diri sendiri serta bukannya untuk rakyat.
Katanya, bukannya mudah untuk menjadi wakil rakyat yang jujur serta setia kepada mandat rakyat sekali gus mengutamakan perjuangan parti dan rakyat demi memartabatkan bangsa Sabah.
“Mohamaddin memilih jalan senang dengan membelakangkan mandat yang sudah diberikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah tidak wajar diterima oleh semua pihak.
“Kita juga persoalkan dari negara lain mana yang dia maksudkan? Berkaitan di negara lain bercakap tentang hak kebebasan soal melompat parti dan sebagainya.
“Seperti kita tahu di beberapa negara maju serta bertamadun kalau ada kalangan wakil rakyat lompat parti…secara automatik kerusi kosong dan pilihan raya akan diadakan,” katanya.
Ketika mengulas mengenai Isu Lompat parti Azhar berkata setakat ini antara negara mempunyai undang-undang anti-lompat termasuklah Singapura, Thailand; India; Israel; Potugal; Bulgaria; Romania; Armenia dan Seychelles.
“Saya tidak nafikan ada juga negara maju yang tidak punyai undang-undang anti-lompat. Tapi jarang kita dengar wakil rakyat lompat dari satu parti ke parti yang lain.
“Ini kerana wakil rakyat di sana sudah matang berpolitik. Majoriti ahli politik atau wakil rakyat di sana sudah sedia stabil dari segi ekonomi sebelum masuk gelanggang politik tapi lain keadaannya di negara kita.
“Walaupun bukan semua tapi ada juga yang menggunakan politik untuk menstabilkan ekonomi peribadi. Ini tidak boleh disangkal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam
satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, mengulas mengenai kenyataan media Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama hari ini mengumumkan akan bertanding semula di Parlimen Lahad Datu serta melompat demi rakyat.
Beliau berkata berkaitan soal haknya untuk berhasrat bertanding semula pada PRU15 akan datang tiada siapa pun boleh menghalangnya.
“Saya sebagai sahabat yang pernah bersama-sama dalam satu perjuangan parti sentiasa mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan tubuh badan sekali gus dapat meneruskan karrier politiknya di masa depan.
“Mungkin ramai pihak lawan juga mengalu-alukan keputusan beliau utk bertanding. Kita doakan beliau sihat dan ada permintaan tinggi untuk dia bertanding semula di Parlimen Lahad Datu,” katanya.