Media sosial bahaya jika tidak ditangani secara baik – Nizam

KUNDASANG : Pengaruh media sosial sangat besar sekali gus berkuasa sehingga boleh mencetuskan bahaya jika gagal ditangani dengan berkesan.

Ketua Penerangan Pusat Parti Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, senario memperlihatkan orang ramai mudah terpengaruh dengan apa sahaja sebaran melalui media sosial hari ini.

Nizam menyampaikan hadiah kepada kumpulan terbaik membuat video grafik sambil diperhati oleh Masidi.

Menurutnya, maklumat itu lebih mudah tersebar luas jika disebar oleh individu bergelar pempengaruh yang mempunyai pengikut yang ramai.

“Lambakan media sosial hari ini mewujudkan dunia tanpa sempadan sehingga maklumat tidak sahih mudah ditularkan dan kemudian diterima bulat-bulat tanpa memeriksa kesahihan sumber serta fakta berita berkenaan.

“Keadaan bertambah buruk jika maklumat itu disebarkan oleh individu yang memiliki pengikut ramai atau lebih dikenali sebagai ‘influencer’,” katanya.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun di sini semalam.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Masidi meminta pengguna media sosial agar memiliki ilmu asas serta kemahiran untuk menapis apa-apa maklumat diterima bagi memastikan kesahihan dan kebenaran.

“Apabila menerima maklumat yang tidak pasti kesahihannya, setiap kita perlu tenang, jangan tergopoh-gapah.

“Jangan tergesa-gesa cepat menerima berita serta perlu diselidik dan pastikan berita yang diterima terlebih dahulu,” jelas Masidi.

Menurutnya, adalah penting maklumat sewajarnya membantu kepada proses pembangunan serta kemajuan negara dan tidak sewajarnya diganggu-gugat dengan pelbagai dakyah.

“Apabila masuk berita dalam kumpulan WhatsApp, kita perlu tanya dapat dari mana? Betul ke apa disampaikan?.

“Kadang-kadang kita pelik orang mahu sebarkan berita gunakan ayat macam okey tetapi ada maksud lain sebenarnya,” katanya.

Masidi mahu pemimpin parti agar bersedia menguruskan media sosial dengan menyebar maklumat yang benar serta lebih proaktif bagi mengekang maklumat palsu.

“Kit mahu agar ada penjelasan kepada rakyat melalui media sosial harus disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami, jelas, tepat dan berkesan.

“Tugas ketua penerangan menjadi tanggungjawab dan perjuangan kepada semua. Kita harus menang di media sosial jika ingin menang dalam pilihan raya akan datang,” tambah Masidi.