TONGOD : Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan diadakan sebelum pertengahan tahun hadapan.
Beliau mengesa agar tiga sayap utama parti itu di Sabah iaitu pemuda, wanita dan beliawanis membentuk jentera masing-masing untuk bergerak satu pasukan dalam kempen PRN yang bakal diadakan bila-bila masa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan mesyuarat Agung Tahuan parti itu di Dewan Masyarakat Majlis Daerah di sini, semalam.
Sementara itu, empat pemimpin utama parti pembangkang di Kuamut mengumumkan keluar daripada parti masing-masing dan menyertai Gagasan Rakyat di kawasan itu, pimpinan Masiung.
Mereka ialah Abdul Gafar Jailani bekas Penyelaras Umno Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keramuak, Micheal Orogan, bekas Pengerusi Penyelaras Umno Zon Tongod, Libon Ali, Penyelaras BERSATU Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dan Timbalan Penyelaras Umno zon Tongod merupakan Ketua Cawangan Umno Bingkulat, Kalmin Bambasang.
Masiung mengarahkan ketua-ketua PDM Gagasan Rakyat bersama pengerusi zon di setiap kawasan supaya bersiap siaga membentuk pasukan gerak-gampur dalam mendepani PRN.
Menurutnya, Gagasan Rakyat akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan jentera kempen PRN di seluruh negeri.
“Mulai sekarang semua jentera parti dalam GRS tidak boleh berlengah dan menumpuhkan usaha menyusun gerak kerja pilihan raya secara aktif.
“Ketiga-tiga sayap utama GRS harus turun padang bagi menyelami masalah masyarakat di peringkat akar umbi selain bergerak dalam satu pasukan dengan matlamat yang sama,” katanya di sini semalam.
Terdahulu Masiung merasmikan pejabat baharu Gagasan Rakyat Kuamut di Dataran Tongod yang menempatkan pejabat Gagasan Rakyat dan Unit Pemimpin Pembanguan Masyarakat (PPM).