Masalah sampah di Pantai Kampung Kibagu Sabah perlu tindakan sewajarnya

KOTA KINABALU: Taburan sampah saraf memenuhi sepanjang ‘Pantai Kampung Kibagu’ kira-kira 15 kilometer dari Kota Kinabalu Sabah sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan indah menyaksikan fenomena Matahari Terbenam di kawasan berkenaan.

Tinjauan SabahNewsToday hari ini ke kawasan pantai tersebut mendapati taburan sampah membabitkan bekas minuman, makanan serta pelbagai bahan buangan berada di sepanjang pantai berkenaan.

Seorang penduduk Kampung Numbak dikenali sebagai Hambali Rajahim, 35, berkata, masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama namun tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa untuk mengatasinya.

Katanya, faktor air pasang surut juga dilihat antara punca utama masalah sampah di kawasan terbabit sekali gus mereka menganggap ia merupakan perkara biasa berlaku sejak sekian lamanya.

“Kami tinggal di kampung sebelah..masalah sampah ini juga berlaku di sana. Memang pernah buat gotong-royong bersama semua penduduk kampung namun perkara ini masih belum ada jalan penyelesaiannya.

“Mungkin boleh bentuk satu badan jawatankuasa untuk mengatasi masalah sampah ini agar ia tidak berlarutan sehingga mencemarkan pemandangan indah Pantai Kampung Kibagu ini,” katanya.

Hambali berkata, pantai ini berpotensi besar menjadi tarikan utama pelancong memandangkan ia terletak berhampiran bandaraya Kota Kinabalu serta kawasan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.

Seorang Penduduk Kampung Kibagu yang hanya ingin dikenali sebagai Rusli berkata, penduduk kampung mereka sudah terlalu penat untuk membersihkan kawasan pantai ini berikutan masalah ini tiada penghujungnya.

“Banyak program gotong-royong dianjurkan melibatkan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan UITM Kampus Sabah.

“Kami sebagai penduduk kampung merayu agar ada tindakan diambil selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membersihkan pantai ini bagi memastikan tahap kebersihannya sentiasa terjamin,” katanya.

Rusli menambah, penduduk kampung sentiasa memberikan kerjasama untuk memastikan tahap kebersihan sepanjang kawasan Pantai Kampung Kibagu sentiasa terpelihara sekali gus menjadi tarikan utama bagi aktiviti riadah kepada masyarakat di Kota Kinabalu.

“Jika Pantai Kampung Kibagu ini bersih sudah tentu ramai nanti akan berkunjung melihat fenomena indah matahari terbenam. Ini sudah tentu memberikan pendapatan sampingan kepada penduduk kampung yang menjalankan aktiviti berniaga kepada para pengunjung,” katanya.

 

IMG_2237

SabahNewsToday