KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menyelesaikan segera masalah kekurangan kemudahan awam khususnya di Lapangan Terbang Tawau sekali gus dapat menampung peningkatan drastik jumlah penumpang ke kawasan Pantai Timur Sabah.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Jimmy Lai berkata, masalah ini sudah tentu akan menjejaskan imej sektor pelancongan khususnya tumpuan di kawasan Pantai Timur Sabah terkenal menawarkan pakej percutian menarik kepada pelancong di negara ini.
Katanya, Kementerian Pengangkitan Malaysia perlu menjalankan kaijian terperinci agar situasi ini dapat ditangani secara bijak dalam tempoh terdekat bagi mengelak masalah berlarutan di masa depan.
“Kita melihat kemudahan awam yang disediakan di Lapangan Terbang Tawau sangat mengecewakan serta tidak pernah diambil tindakan dalam memberi keselesaan kepada penumpang.
“Jika dibiarkan sudah tentu masalah ini akan secara langsung memberikan gambaran negatif khususnya kepada pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke negeri ini.
“Kementerian terbabit perlu bertindak bermula daripada sekarang….jangan tunggu kerana penumpang membuat bayaran kepada perkhidmatan udara ini, tetapi tidak setimpal dengan wang yang dibelanjakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jimmy berkata, ketika ini Lapangan Terbang Tawau menerima jumlah penumpang melebihi kapasiti sedia ada, sehingga ramai dalam kalangan pengguna, pelancong terpaksa berdiri lama berikutan kekurangan tempat duduk atau ruangan menunggu.
“Kita alu-alukan menteri terbabit melihat sendiri kemudahan di lapangan terbang ini…Jangan hanya menunggu laporan daripada kalangan pegawainya.
“Kita harus beri pujian kepada usaha kerajaan menerusi Lembaga Pelangongan Sabah (STB) berusaha keras mempromosikan destinasi menarik di Sabah kepada masyarakat antarabangsa. Dalam masa sama kemudahan awam perlu dipadang secara serius,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jimmy melahirkan perasaan kecewa apabila kerajaan tidak melaksanakan perancangan pembangunan berkaitan Lapangan Terbang Tawau, walaupun Indonesia memutuskan memindahkan ibu negara mereka ke Kalimantan.
“Usaha menaiktaraf Lapangan Terbang Tawau perlu merangkumi perancangan bersistemetik agar Sabah dapat menikmati limpahan ekonomi daripada pembangunan Kalimantan ini di masa depan,” katanya.