LABUAN: Pengguna di pulau boleh menarik nafas lega apabila masalah ketiadaan bekalan gula dijangka pulih sepenuhnya bermula hari ini.
Ini berikutan sebanyak 9,272 kilogram gula yang didatangkan dari Sabah telahpun tiba di Labuan, semalam.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagagan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, selain itu sebanyak 118,000 metrik tan lagi gula akan tiba di Labuan secara berperingkat dari Pelabuhan Klang dalam waktu terdekat bagi memastikan bekalan itu tidak terputus seperti kebiasaannnya.
“Manakala kira-kira 10,000 kilogram gula lagi akan di bawa masuk esok (Khamis) dari Sabah bagi menampung kekurangan bekalan itu,” katanya kepada media di sini, kelmarin.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik memandangkan bekalan itu sudah kembali stabil, sebaliknya membeli secara berhemah.
Kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi punca bekalan gula, menjadi isu utama hingga memberi kesan serius dalam rantaian penghantaran gula ke Labuan.
Masalah ketiadaan bekalan gula mula dirasai oleh pengguna di pulau ini sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang turut menerima aduan daripada pelbagai pihak telah mengambil tindakan serta merta dengan membuat penghantaran gula dari Sabah.