Lima sekolah di Kota Kinabalu rekod kes positif COVID-19

Masidi Manjun (Gambar fail)

KOTA KINABALU (Bernama): Sebanyak lima sekolah di Kota Kinabalu telah merekodkan kes positif COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri mengenai COVID-19 berkata sekolah tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shan Tao yang merekodkan tiga kes, Sekolah Menengah Shan Tao (tiga kes), SJKC Chung Hwa (dua kes), SJKC Chung Hwa Likas (satu kes) dan Sekolah Rendah Kebangsaan Lok Yu (satu kes).

“Terdapat dakwaan tular sekolah di Kota Kinabalu dan Penampang merekodkan kes positif COVID-19, namun dimaklumkan hanya lima sekolah (di Kota Kinabalu) merekodkan kes positif pandemik itu,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata empat lagi sekolah dalam dakwaan tular itu iaitu SJKC Yue Min dan Yue Min Kindergarten di Penampang, serta SJKC St James dan Menggatal Lok Yuk Kindergarten di Kota Kinabalu tidak merekodkan kes positif COVID-19.

Sementara itu, Masidi berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19, hari ini adalah 160 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,324 kes.

Beliau berkata satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kota Sawit di Kinabatangan yang mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes.

Kes indeks merupakan pekerja kilang sawit yang dikesan positif COVID-19 melalui ujian saringan bergejala pada 13 April lepas dan susulan kes itu, saringan kontak rapat mendapati 13 lagi kes positif termasuk seorang tanggungan pekerja,” katanya.

Katanya kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melawat keluarganya yang tinggal di zon merah Lahad Datu dan sehingga hari ini kilang terbabit ditutup manakala pekerja telah dikuarantin.

SabahNewsToday

Leave a Reply