Letak jawatan Ketua Pembangkang, Hamzah beri isyarat ‘reset’ politik – Norsahar

KOTA KINABALU: Tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dilihat sebagai langkah strategik yang membawa isyarat penting dalam perubahan landskap politik negara.

Bekas Ketua Bahagian Sepanggar BERSATU, Norsahar Ahmad, berkata langkah itu mencerminkan keberanian seorang pemimpin dalam membuat keputusan sukar, termasuk melepaskan jawatan demi membuka ruang kepada penyusunan semula kekuatan politik.

Menurutnya, dalam suasana politik yang sering memperlihatkan pemimpin mempertahankan kedudukan walaupun berdepan cabaran, tindakan Hamzah menunjukkan pendekatan berbeza yang memberi keutamaan kepada strategi jangka panjang.

“Ini bukan sekadar tindakan taktikal, tetapi satu isyarat bahawa pembinaan semula kekuatan politik memerlukan keberanian untuk keluar daripada zon selesa,” katanya.

Norsahar berkata, fokus terhadap usaha membina semula kekuatan parti juga memberi mesej jelas kepada akar umbi bahawa pendekatan baharu sedang digerakkan, termasuk memperkukuh organisasi dan naratif politik yang lebih segar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa langkah tersebut turut membawa cabaran besar, khususnya dalam memastikan gagasan yang diketengahkan dapat diterjemahkan kepada struktur organisasi yang kukuh serta agenda yang jelas dan berkesan.

“Konsep ‘RESET’ mempunyai daya tarikan, tetapi ia tidak boleh sekadar menjadi slogan. Ia perlu disokong dengan pelaksanaan yang konkrit dan berimpak,” katanya.

Menurutnya, rakyat kini semakin kritikal dan tidak lagi mudah menerima naratif tanpa tindakan nyata.