Lepasan Diploma, STPM boleh sertai Program Felo SMJ 2023

KOTA KINABALU: Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma di Sabah berpeluang menyertai Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata jika pengambilan peserta edisi pertama pada tahun lalu hanya untuk graduan institusi pengajian tinggi (IPT), tahun ini ia turut membabitkan lepasan STPM dan diploma.

Katanya, usaha itu disasar dapat membangunkan belia di negeri ini secara holistik ke arah menyediakan mereka sebagai sumber manusia yang kompeten, produktif dan berkemampuan menjadi pelapis kepimpinan negeri dan negara.

“Selain itu terdapat juga penambahan beberapa agensi dan institusi yang menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan Felo SMJ 2.0 kali ini, termasuk sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain kementerian-kementerian sedia ada. 

“Saya percaya, melalui penglibatan semua kementerian, beberapa agensi dan GLC terpilih mampu merealisasikan matlamat penganjuran Felo SMJ untuk menyediakan pelapis kepimpinan negeri Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Felo SMJ 2.0 di Dewan Sipadan I, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.  

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin. 

Sementara itu, beliau menyeru Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk memberikan penghakupayaan penuh kepada Majlis Belia Sabah (MBS) dalam melaksanakan program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) khususnya program Felo SMJ.

Beliau yakin MBS  mampu menjalankan program itu dengan baik dan teratur di bawah pemantauan kementerian. 

Katanya, Kerajaan Negeri amat prihatin, peka dan menyokong aktiviti berkaitan pembangunan belia, terutama yang memberi pendedahan dan membina potensi serta keterampilan peribadi anak muda.  

Katanya inisiatif Felo SMJ ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasa pembangunan modal insan di negeri