Lembaga Padi Sabah akan diwujudkan semula bagi capai 60 peratus tahap sara diri

KOTA KINABALU: Lembaga Padi Sabah akan diwujudkan semula bagi membangunkan industri padi dan beras negeri sejajar sasaran mencapai 60 peratus tahap sara diri (SSL) pada 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif itu antara langkah dilaksanakan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan.

“Pada ketika ini, SSL beras negeri Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import dari negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.

“Kita berharap dengan pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah dapat meningkatkan tahap SSL beras negeri sekali gus mengurangkan import beras,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah 2023 di Wisma Pertanian, di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Sementara itu, Hajiji berkata peladang, penternak dan nelayan adalah golongan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.

Sehubungan itu, katanya, peladang, penternak dan nelayan harus peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam pertanian termasuk mengaplikasikan pengurusan ladang secara moden.