SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing ditemukan lemas selepas dipercayai melarikan diri daripada polis apabila terlibat dalam pergaduhan dengan rakannya, di Kampung Pukat Pasir Putih, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Nor Azizi Che Noh berkata, mangsa berumur 18 tahun itu ditemukan rakan sekerjanya tidak jauh dari lokasi mangsa dipercayai terjun.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 9.48 malam.
“Mangsa ditemukan terapung oleh rakan sekerjanya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar ke Hospital bagi proses bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan penyelamat selepas seorang lelaki warga asing dikhuatiri lemas di laut Kampung Pukat Pasir Putih.
Operasi SAR dijalankan pasukan Bomba, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).