KOTA BELUD : Seorang lelaki maut selepas lori treler dipandunya membawa muatan getah terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan di Jalan Mengaris Kampung Ulu Kukut, di sini malam tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud Muhammad Shazwan Latun berkata, setakat ini butiran mangsa masih belum dapat diperoleh sekali gus disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, mangsa pemandu lori terbabit kemudiannya diserahkan kepada Pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak Bomba diketuai Mohd Farhad Abdullah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam bersama kekuatan sembilan anggota.
“Apabila sampai di lokasi kejadian pada jarak 31 kilometer kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi mendapati, terdapat seorang mangsa masih berada di dalam lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Muhammad Shazwan berkata, pihak Bomba dan Penyelamat kemudiannya berjaya mengeluarkan mangsa daripada lori terbabit sekali gus lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 1.06 malam tadi,” tambahnya.