153 warga Indonesia di hantar pulang ke negara asal

TAWAU : Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM), menghantar pulang Seramai 153 warga Indonesia, melalui pelabuhan Tawau ke Nunukan, di sini semalam.

Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussuf berkata, penghantaran pulang kesemua warga Indonesia itu merupakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri Ke-10 untuk katogeri perjalanan melalui laut bagi tahun 2024.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 123 orang merupakan tahanan lelaki, 25 orang tahanan perempuan, dan lima orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

“Penghantaran pulang warga Indonesia adalah dengan kerjasama Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu dan Tawau,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Sitti Saleha berkata, semua PATI  ditahan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.