TAWAU : Seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes samun seorang wanita berusia 32 tahun yang tular melalui satu klip video di aplikasi Whatsapp berjaya ditumpaskan petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak Polis telah menerima satu laporan mengenai kejadian samun melibatkan seorang wanita yang berlaku kira-kira jam 10.00 pagi.
Katanya, kejadian berlaku di tempat letak kereta lorong belakang sebuah banguna kedai, Jalan Pelabuhan, Tawau ketika mangsa ingin menaiki kenderaan miliknya.
“Mangsa seorang wanita bertugas sebagai penjawat awam berumur 32 tahun didatangi seorang lelaki tidak dikenali sambil menegur tayar kereta milik mangsa pancit.
“Tidak lama kemudian suspek masuk ke dalam kereta mangsa sekali gus berlaku pergelutan. Suspek mencekik bahagian leher dan mengancam menikam mangsa serta cuba untuk mengambil barang berharga tetapi tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, suspek gagal mengambil barang berharga milik mangsa serta melarikan berikutan kehadiran orang ramai untuk membantu mangsa.
“Polis berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun di sekitar kampung Tanjung Batu Keramat kira-kira jam 5.40 petang tadi kerana dipercayai terlibat dengan kes cubaan rompak seorang wanita semalam.
“Ketika tangkapan dibuat suspek cuba bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara pihak Polis dan suspek,” jelas Jasmin.
Menurutnya, suspek diberkas dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau akan disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek memiliki dua rekod berkaitan jenayah pecah rumah dan dadah.
“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa lebih berhati-hati pada setiap masa serta berwaspada dengan setiap pergerakan di sekitar mereka,” kata Jasmin.