KENINGAU : Seorang lelaki cedera parah selepas senapang buatan sendiri (Bakakuk) meletup ketika melakukan aktviti memburu di kawasan kebun di Kampung Panganitan, Nabawan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa bekerja sebagai petani berusia 28 tahun mengalami putus empat jari tangan kiri, patah tulang rusuk kiri serta satu biji anak peluru masih berada di tulang rusuk manakala tiga biji serpihannya masih berada di lengan kirinya.
Katanya, mangsa kini dilaporkan stabil sekali gus masih menerima rawatan lanjut di wad Hospital Daerah Keningau.
“Siaaatan mendapati lelaki terbabit keluar memburu di kebun Kampung Panganitan secara bersendirian sambil membawa sepucuk senapang jenis bakakuk terletak kira-kira tiga kilometer dari kampungnya.
“Ketika berjalan menuruni kawasan cerun bukit, lelaki terbabit tergelincir lalu picu bakakuk mengakibatkan letupan terkena di bahagian tangan kiri serta dadanya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Yampil berkata, mangsa kemudiannya terbaring dalam keadaan kesakitan sambil mengikat lengan kirinya bagi mengelak menjadi lebih teruk.
“Ahli keluarganya mengambil keputusan untuk mengesan mangsa di kawasan hutan berhampiran selepas gagal pulang ke rumah ketika melakukan aktiviti memburu.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan lemah lalu ahli keluarganya bertindak menghantar ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelas Yampil.
Menurutnya, polis merampas satu laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama kelongsong peluru tabur dalam chamber untuk siasatan lanjut.
“Polis merampas sebutir kelongsong peluru tabur warna hitam. Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” kata Yampil.