KOTA KINABALU : Sistem kurikulum perlu sentiasa dirombak dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dunia yang berteraskan teknologi pada hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Shahril Yusof berkata, ilmu dan maklumat kini berada di hujung jari pada hari ini, justeru kurikulum perlu berubah mengikut kemajuan.
“Kita perlu melahirkan sumber manusia yang bekerja dan berkhidmat untuk negara, dan bukan hanya melatih mereka dalam pengkhususan tertentu yang kita ajarkan.
“Pensyarah muda perlu memberi fokus terhadap subjek dikuasai oleh mereka agar pelajar memiliki nilai untuk berkomunikasi, mampu menyelesaikan masalah serta dalam masa yang sama menggunakan teknologi terkini,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, kurikulum universiti perlu disemak dari semasa ke semasa agar graduan yang bakal dilahirkan oleh universiti tidak terjejas.
“Kita perlu memberi masa kepada pelajar untuk menerokai bidang lain dan bukan hanya perkara yang dipelajari di fakulti.
“Kita mesti memperbaiki nilai kemanusiaan pelajar dan tidak terlalu menumpukan kepada sesi pembelajaran dan tugasan sahaja, jelas Shahril.