Kualiti liputan di beberapa lokasi Pelancongan Sepilok perlu dipertingkatkan – Fahmi

SANDAKAN : Ujian kualiti liputan komunikasi di kawasan pelancongan Sepilok memperlihatkan kualiti liputan secara keseluruhan berada pada tahap memuaskan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, namun ada terdapat beberapa lokasi dikenal pasti memerlukan penambahbaikan dalam tempoh terdekat.

Fahmi menjelaskan hasil ujian kualiti liputan komunikasi di kawasan pelancongan Sepilok kepada media.

Katanya, program itu melibatkan pengujian perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar melibatkan penyedia rangkaian mudah alih membabitkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile (TM Tech) dan YES (YTL).

“Liputan di beberapa lokasi utama termasuk di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Rainforest Discovery Centre adalah memuaskan.

“Namun, terdapat kelemahan dikesan di kawasan tertentu seperti kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan serta Lakeside Pavilion di Rainforest Discovery Centre,” katanya di sini semalam.

Fahmi ketika menunjukkan kadar kelajuan capaian internet di Pusat Pemuliharaan Orang Utan kepada media.

Fahmi berkata, semua syarikat pengendali perkhidmatan telekomunikasi (telco) perlu mengambil tindakan segera sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kerajaan komited memastikan mutu perkhidmatan komunikasi ditingkatkan melalui aktiviti pemantauan dan kawal selia di kawasan tumpuan awam.

Pegawai Veterinar Dr. Nur Nabila Sarkawi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Fahmi (tengah) sambil disaksikan Fauzi (kanan).

“Ia membabitkan destinasi pelancongan, jalan protokol, premis kesihatan awam, institusi pendidikan serta lokasi acara besar di seluruh negara,” jelas Fahmi.

Menurutnya, peningkatan kualiti liputan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, ia juga membantu pengusaha pelancongan memasarkan produk secara dalam talian sekali gus meningkatkan pengalaman pelancong di Sabah.

Fahmi (tengah) serta Fauzi (tiga dari kiri), Julina (dua dari kiri), Ratnawaty (kiri), Dr Nabila (tiga dari kanan) dan Bukhari (kanan) menunjukkan simbol Malaysia MADANI.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan 1,257 sesi pengujian Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) jalur lebar tanpa wayar di seluruh negara, termasuk 196 lokasi di Sabah dalam suku pertama tahun 2025.

“Sebanyak 135 notis di bawah subseksyen 51(2) telah dikeluarkan tahun ini, manakala pada tahun 2023 dan 2024, sejumlah 46 penalti berjumlah RM6.55 juta telah dikenakan ke atas pihak yang gagal mematuhi MSQoS,” katanya.

Beliau menegaskan MCMC tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan pematuhan standard liputan. 

“Kita akan bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan di negara ini.

“Kerajaan menggesa semua penyedia perkhidmatan untuk bertindak cepat dalam menyelesaikan aduan rakyat bagi memastikan keperluan komunikasi masyarakat terus terjamin,” kata Fahmi.