KENINGAU : Program Jelajah Iftar 2025 yang dianjurkan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah.
Majlis diteruskan di destinasi ke-12 membabitkan kawasan Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan, termasuk DUN Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Kemabong, Tulid, Sook, dan Nabawan.
Majlis berbuka puasa yang diadakan di Kompleks Sukan Keningau dihadiri lebih 1000 orang dengan golongan asnaf, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan mangsa banjir menerima sumbangan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin, Pengarah Eksekutif KTC Datuk Dexter serta pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin tempatan.
Hajiji menyatakan bahawa program ini adalah satu tradisi amal dianjurkan UPPM dengan mengadakan Majlis Buka Puasa di setiap kawasan di Sabah.
“Bantuan yang disalurkan kepada penerima pada malam ini bertujuan membantu golongan miskin dan terdapat 1100 orang didaftarkan dalam senarai eKasih layak menerima bantuan kerajaan.
“Permohonan bantuan boleh dibuat di pejabat daerah masing-masing bagi mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey menghargai kehadiran Hajiji di dalam majlis berkenaan serta sumbangan yang diberikan kepada golongan asnaf.
Sementara itu, Dexter menghargai sokongan Hajiji yang mengiktiraf usaha UPPM serta KTC sebagai penyumbang dalam program ini.
Beliau percaya usaha untuk mengadakan jelajah iftar ini adalah berbaloi dan turut berkongsi bahawa KTC dalam perancangan mendapat tanah seluas 15 ekar di KKIP untuk membina Hab KTC terbesar di Borneo.
Ini adalah syarikat tempatan yang pertama di Sabah yang akan membina fasiliti pergudangan dan perkilangan dan sekaligus akan menjadi ibu pejabat utama bagi menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia agar dapat mengukuhkan ekonomi di Sabah.
Penaja majlis berbuka puasa di Keningau termasuk Sabah Softwood, Benta Wawasan, Sawit Kinabalu, dan Jetama.