KPDN Labuan tahan kenderaan bawa 300 diesel subsidi tanpa permit

LABUAN : Sebuah kenderaan  pacuan empat roda ditahan selepas disyaki membawa lebih 300 minyak disyaki diesel bersubsidi tanpa permit, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ( KPDN) Labuan, Junaidah Arbain berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 44 tahun merupakan pemandu kenderaan  ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kenderaan ini diubah suai mempunyai tangki tambahan disembunyikan di bahagian belakang kenderaan.

“Kenderaan ini boleh membawa  lebih kurang 300 liter minyak disyaki diesel bersubsidi dalam satu Operasi Tiris 3.0 di kawasan perindustrian di Labuan.

“KPDN Labuan mengambil keterangan pemandu kenderaan ini untuk membantu siasatan selepas membawa minyak diesel bersubsidi tanpa permit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Junaidah berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan yang tidak mempunyai sebarang surat kebenaran atau permit.