Kastam Sabah rampas dadah bernilai RM2.89 juta

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah selepas berjaya merampas 98 kilogram syabu dan ganja.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, semua dadah ini dianggarkan bernilai RM2.89 juta itu cuba dibawa masuk menggunakan perkhidmatan udara dalam dua siri rampasan pada 28 November dan 9 Disember lalu.

Katanya, kes pertama dikesan di MAS Kargo, Kota Kinabalu, apabila tiga bungkusan parcel berisi methamphetamine berjaya dirampas.

“Semua dadah seberat 60.9 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.95 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes rampasan kedua dilakukan pada jam 10.30 pagi membabitkan dua bungkusan parcel yang berisi 20.2 kilogram syabu. Semua dadah yang disembunyikan dalam kotak kertas A4 itu dianggarkan bernilai RM696,114,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini hari ini.

Siti berkata, sepanjang 28 November hingga 20 Disember lalu, pihaknya turut berjaya merampas 28 bungkusan parcel.

“Pemeriksaan mendapati, semua bungkusan ini mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Semua rampasan ini melibatkan dadah seberat 17.1 kilogram dan dianggarkan bernilai RM250,038,” jelas Siti.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

“Kastam Sabah turut berjaya merampas 50 kotak ‘Chewing Tobacco’ di Pelabuhan Sepanggar pada 2 Januari lalu.

“Bahan larangan dianggarkan bernilai RM194,810 termasuk cukai itu dirampas selepas dikesan gagal mengemukakan permit import yang sah,” kata Siti.

Menurutnya, modus operandi digunakan adalah membuat pengikraran yang tidak benar dan bertentangan dengan kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967.