SANDAKAN: Satu ‘Konsultan Bebas’ akan dilantik bagi menjalankan kajian mewujudkan semula reka bentuk serta proses pembinaan jambatan baharu bagi Jalan di Libaran Bypass SPS2 ke Fulliwah di daerah ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini bagi memastikan reka bentuk jambatan tersebut kukuh struktur binaannya sekali gus mampu menghadapi sebarang perubahan cuaca.
Katanya, jambatan ini sudah mengalami dua kali kerosakan dikenalpasti antara punca utama jalan raya tersebut tidak dapat digunakan meskipun ia sudah siap sepenuh sejak 2014 lagi.
“Jambatan ini sudah mengalami dua kali runtuh, dengan adanya reka bentuk baharu nanti masalah ini akan dapat diatasi sekali gus membolehkan ia dapat digunakan oleh orang ramai.
“Kita mohon agar Jurutera Daerah Sandakan untuk mengambil tindakan susulan dalam tempoh terdekat. Ini bagi memastikan beberapa masalah utama termasuk kesesakan lalu lintas akan dapat dikurangkan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di sini semalam.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, satu mesyuarat teknikal akan diadakan hari ini untuk membincangkan kaedah pembukaan jambatan lama yang runtuh serta tindakan selanjutnya.
“Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan segara bagi memastikan jalan ini digunakan bagi menjimatkan masa perjalanan selain mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas menuju ke bandar Sandakan,” katanya.
SabahNewsToday