Kompleks Sukan Tongod siap sepenuhnya tahun 2023 – Masiung

KOTA KINABALU: Tongod dijangka bakal menjadi kuasa baharu dalam sukan olahraga selepas Pembinaan Kompleks Sukan siap sepenuhnya menjelang tahun 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, ketika ini persiapan semua atlet terjejas berikutan ketiadaan prasarana serta pusat latihan lengkap di kawasan berkenaan.

Katanya, ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi atlet khususnya dalam kutipan pingat terutama dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS).

“Kita melihat pelajar daerah Tongod memang sangat berpotensi tinggi untuk digilap menjadi atlet cemerlang di masa depan.

“Namun kekurangan prasarana kemudahan sukan menjadi faktor utama penghalang untuk melahirkan atlet yang berbakat,” katanya dalam program majlis ramah mesra bersama  pegawai, jurulatih, guru dan pelajar di sini semalam.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah berkata, selepas siap sepenuhnya nanti Kompleks Sukan ini sudah tentu akan memberi nafas baharu dalam  melahirkan atlet berkualiti di masa depan.

“Harapan kita semua, menjelang temasya sukan akan datang, Tongod dapat melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk mewakili negeri dan negara berasal daripada daerah ini nanti,” katanya.

Masiung yakin kepada kewibawaan guru-guru dalam usaha melahirkan atlet berpotensi khususnya dalam kalangan pelajar sekolah di daerah Tongod.