Ketua Wira Warisan Libaran sokong kenyataan Suhaimi tidak setuju keputusan MPS naikkan kadar bayaran cukai pintu

SANDAKAN:  Ketua Wira Warisan Libaran, Mohammad  Asmara menyokong kenyataan Datuk Suhaimi Nasir barkaitan keputusan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menaikkan kadar bayaran cukai pintu pada tahun depan adalah tidak wajar.

Beliau menjelaskan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Libaran itu (Suhaimi) disifatkan tepat dan membela nasib rakyat yang kini dibebani ekonomi yang tidak stabil.

“Sepatutnya MPS mencerakin terlebih dahulu adakah tahap Khidmat penyelengaraan mereka dalam skop-skop kerja cukai pintu itu ditahap memuaskan atau pun tidak sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya, di sini.

Mohammad berkata terdapat beberapa kawasan perumahan dimana masalah parit tersumbat dan kutipan sampah gagal diselenggara dengan waktu yang tepat, tidak termasuk lagi masalah rumput panjang dan jalan berlubang.

“Kegagalan masa penyelenggaraan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti pembiakan nyamuk aedes, masalah anjing berkeliaran dan kemalangan dijalan seperti kita semua sedia maklum.

“Melihat situasi rakyat berdepan dengan bebanan kenaikkan harga barang dan kos sara hidup yang mencabar, menaikkan kadar bayaran cukai pintu pada masa ini pasti membebani pembayar cukai,” tegasnya.

Beliau berharap MPS lebih cakna masalah rakyat dan mempertimbangkan semula dalam keputusan menaikkan kadar bayaran cukai pintu ini.